Senarai Kelengkapan Ibadah Haji dan Umrah Yang Anda Perlu Tahu

Menunaikan ibadah Haji merupakan rukun Islam yang kelima bagi umat Islam. Ia juga merupakan impian bagi setiap Muslim untuk menjadi tetamu Allah di Tanah Suci Mekah. Walaubagaimanapun, persiapan mental dan fizikal perlu dibuat selengkapnya bagi memastikan keselesaan serta kelancaran perjalanan Haji dan Umrah. Di sini akan dikongsikan senarai kelengkapan ibadah Haji dan Umrah yang anda perlu tahu. Moga ia dapat menjadi panduan dan checklist anda sebelum berangkat ke Tanah Suci.

1. Kain ihram dan aksesori

Kain ihram merupakan kelengkapan paling penting bagi jemaah lelaki. Anda disarankan untuk membawa sekurang-kurang nya 2 set kain ihram iaitu 2 helai kain atas dan 2 helai kain bawah. Dengan ada nya 2 set kain ihram, mudah bagi anda untuk tukar ganti dan membasuh kain ihram. Anda juga digalakkan untuk memakai tali pinggang haji bagi menggantikan tali pinggang biasa. Ia bagi memastikan keselesaan serta kekemasan kain ihram sewaktu anda dalam keadaan berihram.

2. Telekung dan mini telekung

Bagi jemaah wanita pula, sudah pasti telekung menjadi keutamaan anda. Jemaah wanita disarankan untuk membawa beberapa pasang telekung, samada telekung penuh atau mini telekung. Telekung penuh dapat memberi keselesaan ketika beribadah di masjid, manakala mini telekung pula dapat memudahkan anda ketika dalam perjalanan.

3. Sejadah

Sejadah juga merupakan barang penting yang perlu dibawa oleh jemaah. Disarankan untuk membawa sejadah yang bersaiz kecil serta ringan. Ia dapat memudahkan anda untuk solat di mana sahaja.

4. Botol spray wudhu’

Seperti yang diketahui umum, Masjidil Haram dan Masjid an-Nabawi mempunyai ruang kawasan yang sangat luas. Jarak antara ruang solat dengan tandas serta tempat wudhu’ agak jauh. Dengan botol spray wudhu’, anda tidak perlu berulang alik ke tempat wudhu’. Anda boleh berwudhu’ di mana sahaja, termasuk di dalam kapal terbang atau di kawasan yang jauh dari sumber air.

5. Pakaian yang bersesuaian

Bawa lah pakaian yang sesuai dipakai ketika anda tidak berihram (bagi lelaki). Anda boleh memakai jubbah, kurta atau baju melayu. Bagi jemaah wanita pula, anda boleh bawa jubah penuh atau jubah seluar mengikut keselesaan anda. Selain itu, jemaah (lelaki dan wanita) juga digalakkan untuk memakai t-shirt berpoket di dalam baju. Ia berfungsi sebagai singlet biasa, tetapi dengan poket bagi memudahkan anda menyimpan barang berharga seperti telefon bimbit dan wang semasa beribadah. Bawa juga baju sejuk jika perlu.

6. Uncang untuk batu melontar

Uncang ini bagi mengisi batu untuk melontar di Jamrah.

7. Uncang untuk simpan kasut

Uncang ini untuk menyimpan kasut semasa di masjid. Anda boleh letakkan uncang berisi kasut anda di rak kasut yang disediakan, atau boleh dibawa masuk ke ruang solat bagi mengurangkan risiko kehilangan kasut. Tetapi pastikan uncang anda bersih ya.

8. Label beg dan telekung

Label beg ini bertujuan untuk mengenalpasti beg anda sekiranya hilang di lapangan terbang. Manakala label telekung pula bagi memudahkan pihak pengurusan mengenalpasti jemaah Haji Malaysia jika berlaku apa-apa yang tidak diingini.

9. Ubat-ubatan dan keperluan kesihatan

Jangan lupa untuk siapkan keperluan lain seperti keperluan mandi dan ubat-ubatan. Sepanjang di Tanah Suci, anda perlu menjaga kebersihan dan kesihatan diri untuk menjalankan ibadah dengan baik. Cuaca di sana sangat berbeza dibandingkan dengan Malaysia. Udaranya yang kering boleh menyebabkan kulit anda kering dan merekah. Anda digalakkan untuk membawa set penjagaan kulit tanpa wangian seperti pelembap kulit, lip balm dan heel balm.

10. Buku doa

Bukan mudah untuk menghafal semua doa serta dzikir. Jadi, bawa lah buku doa kecil bersama anda sebagai panduan sepanjang anda menunaikan ibadah Haji dan Umrah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *