Cara Mudah Solat Dhuha dan Doa Dhuha, Rugi Jika Tidak Amalkan

doa

Solat Dhuha merupakan salah satu dari amalan-amalan sunat yang sangat digalakkan dalam Islam. Ia dipanggil solat Dhuha kerana waktu yang dikhususkan untuk mengerjakan solat sunat ini ialah pada waktu Dhuha sahaja. Waktu Dhuha merujuk pada saat matahari telah naik lebih kurang setinggi sebatang galah, kira-kira 20 minit selepas terbit matahari. Waktu Dhuha berakhir apabila matahari berada tepat di tengah-tengah langit, kira-kira 9 minit sebelum masuk waktu Zohor. Terdapat banyak manfaat dan kebaikan yang boleh diperolehi dengan mengamalkan solat Dhuha. Sebelum itu, apakah cara mudah dan betul untuk melaksanakan solat sunat Dhuha? Di sini akan dikongsikan langkah-langkah mudah solat Dhuha berserta doa Dhuha sebagai panduan anda.

1. Rakaat

Solat Dhuha dilakukan dengan 2 rakaat untuk setiap kali solat, dan boleh diulang sehingga 6 kali solat (2 rakaat x 6 kali solat) setiap hari.

2. Lafaz Niat Solat Dhuha

Usolli sunnataddhuha rok’ataini lillahi ta’ala

Maksud: Aku solat sunat Dhuha dua rakaat kerana Allah Taala

3. Bacaan Dalam Solat

Dari segi rukun, tertib dan syarat sah solat, solat Dhuha adalah sama seperti solat wajib yang lain. Tiada penetapan khas untuk pembacaan surah bagi solat ini. Namun begitu, terdapat bacaan surah tertentu yang digalakkan oleh para ulama’. Untuk rakaat pertama, anda digalakkan untuk membaca surah as-Shams dan surah ad-Dhuha pada rakaat kedua. Walaubagaimanapun, ini hanyalah galakan. Terserah pada anda untuk membaca surah yang anda ingini. Bagi bacaan-bacaan lain pula seperti sujud, rukuk dan sebagainya, adalah sama seperti solat biasa.

4. Doa Dhuha

Allahumma innaddhuhaa’a dhuhaa uka,

walbahaa’a bahaa uka, waljamaala jamaaluka,

walquwwata quwatuka, walqudrota qudrotuka wal’ismata ‘ismatuka.

Allahumma inkaana rizqi fissamaa’i fa’anzilhu,

wa’inkaana fil ardhi fa’akhrijhu wa’in kaana mu’assiron fayassirhu,

wa’in kaana harooman fathohhirhu, wa’inkaana ba’idan faqorribhu,

bihaqqi dhuhaa ika wabahaa ika wajamaalika waquwwatika waqudrotika aatini maa ataita ‘ibaadakassolihiin.

Maksud: Ya Allah, bahawasanya waktu dhuha itu waktu dhuhaMu, kecantikan ialah kecantikanMu, keindahan ialah keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu, dan perlindungan itu perlindunganMu. Ya Allah, jika rezekiku masih di atas langit, turunkanlah. Jika ada di dalam bumi, keluarkanlah. Jika sukar, mudahkanlah. Jika haram, sucikanlah. Jika masih jauh, dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, keagungan. keindahan, kekuatan, dan kekuasaanMu, limpahkanlah kepadaku segala yang telah Engkau limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.

Anda juga boleh klik link ini untuk mendengar nasyid doa Dhuha oleh UNIC.

Kelebihan Solat Dhuha

Umum mengetahui bahawa solat Dhuha ini dikaitkan sebagai amalan yang dapat membuka pintu-pintu rezeki. Dengan mengamalkan solat Dhuha, seseorang itu akan memperolehi rezeki yang melimpah ruah serta hati yang tenang. Harus diingatkan di sini bahawa rezeki itu tidak semestinya datang dalam bentuk wang ringgit dan harta benda sahaja. Ia juga boleh datang dalam pelbagai bentuk seperti dikurniakan kesihatan tubuh badan, rezeki yang mencukupi serta berkat, anak-anak yang soleh dan solehah, mahupun dipermudahkan urusan dalam seharian kehidupan sebagai seorang Muslim. Selain itu, dengan mengamalkan solat Dhuha juga, seseorang itu akan mendapat keampunan dari Allah swt.

Solat sunat Dhuha mengandungi banyak manfaat dan kelebihan, anda amat disarankan untuk mengamalkan solat sunat ini dalam kehidupan seharian anda. Pada awalnya mungkin anda berasa berat untuk melakukannya. Tetapi apabila solat Dhuha mula menjadi sebahagian dari rutin harian, anda pasti berasa nikmat dan seronok mengerjakannya. Semoga panduan ini dapat menjadi titik perubahan dalam kehidupan anda sebagai seorang Muslim. Selamat beramal!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *