Cara Memakai Kain Ihram Dengan Betul

kain ihram

Kain ihram menjadi pakaian wajib bagi jemaah haji dan umrah.

Ianya menjadi etika pemakaian yang telah ditetapkan oleh syarak berdasarkan petunjuk yang telah diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Bagi anda yang bakal mengerjakan haji atau umrah, pakaian ihram perlu disediakan lebih awal sebelum anda bertolak ke Tanah Suci. Dalam artikel ini, anda akan mengetahui serba sedikit tentang cara pemakaian ihram yang sempurna.

Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Kain Ihram?

Ketika ihram, kita perlu mematuhi adab pemakaian yang telah ditetapkan oleh hukum syarak. Pakaian ihram bagi lelaki adalah sedikit berbeza dengan perempuan.

Bagi lelaki yang menunaikan haji atau umrah, mereka dilarang memakai sebarang pakaian berjahit seperti baju, singlet mahupun seluar dalam.

Mereka juga dilarang untuk memakai pakaian bercantum atau yang ditenun seperti stokin, kain pelikat, dan kasut. Penutup kepala seperti topi, songkok, kopiah atau serban turut dilarang.

Pakaian ihram bagi lelaki adalah dua helai kain berwarna putih. Satu kain digunakan sebagai sarung untuk menutup bahagian pusat hingga kaki. Satu lagi kain digunakan sebagai selendang untuk menutup tubuh badan.

Kain yang digunakan untuk sarung dipakai sebagaimana memakai kain pelikat.

Pastikan ikatan itu kemas dan rapi supaya dapat mengharungi kesemua ibadah haji atau umrah yang melibat banyak pergerakan.

Namun begitu, jika khuatir kain ikatan kain sarung itu longgar, anda dibenarkan untuk memakai tali pinggang untuk mengemaskan ikatan.

Cara Pakai Kain Ihram

Untuk menutup tubuh pula, kain diselempangkan atau disilangkan pada dada ke bahagian bahu sehinggalah tertutup seluruh bahagian belakang dan bahagian depan badan.

Ketika melakukan ibadah tawaf (mengelilingi Kaabah), lelaki perlu memakai ihram dengan cara ittiba’ iaitu membuka bahagian bahu sebelah kanan. Ketika ibadah lain, anda boleh menutup kedua-dua belah tangan.

Pakaian Ihram Perempuan

Pakaian ihram bagi perempuan adalah berbeza dengan lelaki. Jika lelaki tidak dibenarkan memakai sebarang pakaian berjahit, perempuan pula bebas memakai apa sahaja pakaian asalkan ianya menutup aurat dan tidak menarik perhatian orang.

Jemaah wanita boleh memakai pakaian berjahit seperti jubah, seluar, blaus, baju kurung, telekung dan sebagainya.

Adakah jemaah wanita perlu memakai pakaian yang berwarna putih sahaja? Tidak.

Tidak ada sebarang ketetapan warna yang ditentukan untuk pakaian wanita ketika ihram.

Walaupun sudah menjadi kebiasaan bagi jemaah dari Asia Tenggara memakai pakaian berwarna putih ketika ihram dan warna hitam menjadi pilihan warga benua Afrika, itu tidak bermakna warna hitam dan putih menjadi kewajiban ketika ihram. Jemaah wanita bebas memilih pakaian ihram mereka.

Walaupun wanita lebih bebas dalam pemakaian ketika ihram, ada larangan yang perlu dijaga.

Mereka dilarang menutup muka dan memakai sarung tangan ketika ihram.

Selain itu, mereka dilarang memakai minyak wangi sepanjang ihram. Jika seseorang itu terpaksa memakai topeng muka kerana faktor kesihatan dan keselamatan, maka itu tidak mengapa bagi mereka.

Kesimpulan

Pemakaian kain ihram yang betul adalah sebahagian daripada kesempurnaan ibadah haji dan umrah. Hanya cara yang sempurna dan mengikut syarak membolehkan anda menjalani ibadah dengan tenang dan memperolehi haji mabrur atau umrah mabrur.

Diharapkan bakal jemaah haji dan umrah mendapat manfaat daripada perkongsian ini. Sekiranya anda sedang mencari kelengkapan umrah dan haji, anda boleh lawati website kami untuk pelbagai koleksi kain ihram yang menetapi kehendak syarak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *