Bajet lari? Duit tak cukup? Amalkan amalan dan doa ini untuk sentiasa murah rezeki.

Nikmat dan rezeki yang diberikan Allah SWT terhadap hambaNya, termasuk yang bukan Islam bertepatan dengan sifat Al-RahmanNya. Bermakna Dia akan memberi kebaikan terhadap mereka yang sentiasa berusaha.

Namun ada hari-harinya kita berdepan dengan masalah kewangan sehingga perbelanjaan tertentu terpaksa dipotong dan rasa seperti tidak ‘cukup’.

Sebagai umat Islam, terdapat beberapa amalan dan doa murah rezeki yang boleh diamalkan malah amat disukai Allah SWT. Berikut adalah antara amalan dan doa supaya rezeki kita dilancarkan dan melimpah ruah. Sesungguhnya rezeki Allah itu sangat luas dan tidak menjadi persoalan sama ada rezeki itu sedikit atau pun banyak. Yang penting sekali rezeki yang diperolehi itu diberkati, halal dan sentiasa rasa mencukupi walaupun ia sedikit.

Sentiasa beristighfar

Perbuatan berbentuk rintihan hamba kepada Allah SWT kerana kesal dan mengakui dosanya. Allah SWT amat suka dan kasihan kepada mereka yang sering bertaubat. Allah SWT akan memberi rezeki kepada mereka yang sentiasa beristighfar seperti yang dijanjikanNya di dalam sebuah hadith :

Barang siapa memperbanyakkan istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’I, Ibnu Majah dan Al-Hakim dari Abdullah bin Abbas .a.).

Solat 5 waktu

Jika mahu rezeki sentiasa masuk dan mendapat keberkatanNya, pastikan anda tidak tinggal solat 5 waktu, malah lebih elok jika mampu menunaikan secara berjemaah.

Firman Allah SWT dalam hadis qudsi yang bermaksud :

Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembahKu nexcaya Aku membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu.” (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan Al-Hakim dari Abu Hurairah R.A).

Sentiasa bersedekah

Tahukah anda, mereka yang gemar bersedekah hartanya tidak berkurangan bahkan semakin bertambah. Sentiasa ikhlaskan hati ketika bersedekah tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (KurnianNya) lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah: 261).

Sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa

Janganlah kita menjadi golongan anak derhaka yang mengabaikan ibu bapa dan hanya mengingati mereka ketika berdepan dengan kesempitan hidup. Berbaktilah kepada mereka selama mereka masih hidup dan sentiasa mendoakan kebaikan buat ibu bapa.

Sabda Rasulullah SAW:

Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah reseki (Allah) daripadanya.” (Riwayat Al-Hakim dan Ad-Dailami).

Memudahkan urusan orang lain

Sentiasa ada kebaikan untuk kita apabila kita berbuat baik terhadap orang lain. Malah Allah SWT akan permudahkan pula urusan kita. Justeru itu, sentiasalah memudahkan urusan orang lain, lebih-lebih lagi mereka yang di dalam kesusahan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya.” (Hadis Riwayat Muslim).

Selain amalan, umat Islam digalakkan sentiasa berzikir dan mengamal serta menghafal doa murah rezeki.

Asma’ul Husna boleh dijadikan sebagai doa murah rezeki seharian kerana ia menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati serta mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu. Selain membantu melapangkan rezeki, ia juga membantu ‘memaniskan’ iman.

Surah Al-Ikhlas juga boleh diamalkan sebagai doa murah rezeki. Sebagaimana Hadis Riwayat At-Tabrani yang bermaksud:

Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas ketika masuk rumah maka berkat bacaan menghilangkan kefakiran dari penghuni rumah dan tetangga”.

Surah Al-Waqi’ah juga punya ‘khasiatnya’ tersendiri dalam usaha untuk melapangkan rezeki.

Barangsiapa membaca surah Al-Waqi’ah setiap malam, maka tidak akan menimpa kepadanya kepapaan. Dan surat Al-Waqi’ah adalah surat kaya, maka bacalah dan ajarkanlah kepada anak-anak kamu.” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi dalam Syu’ab Al-Iman).

Selain itu, perbanyakkan membaca “La Hawla Wala Quwwata Illa Billah yang bermaksud Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah semata-mata.”

Begitu juga dengan membaca “La Illaha Illallah Al Malikul Haqqul Mubin yang bermaksud Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Allah yang Maha Benar lagi Maha Nyata.”

Barangsiapa setiap hari membaca La illaha illalla al malikul haqqul mubin maka bacaan itu akan menjadi keamanan daru kefakiran dan menjadi penenteran dari rasa takut dalam kubur.” (Hadis Riwayat Abu Nu’aim dan Ad-Dailami).

Juga, anda boleh amalkan membaca doa murah rezeki ini:

Ya Allah,
Berikanlah kepada kami rezeki yang luas
Kurniakanlah kepada kami rezeki yang Halal lagi baik tanpa memberatkan kami

Ya Allah,
Jika rezeki kami ada di langit maka turunkanlah
Jika ada di bumi maka keluarkanlah
Jika jauh maka dekatkanlah
Jika dekat maka mudahkanlah
Jika sedikit maka banyakkanlah
Jika banyak maka berkatilah
Agar kami dapat menolong anak-anak yatim, fakir miskin, dan mereka yang dalam kesusahan dan kedaifan.

Ya Allah,
Kabulkanlah doa kami
Amin Ya RobbalAlamin.

Semoga Allah SWT sentiasa kabulkan doa dan hajat kita semua, malah sentiasa permudahkan urusan seharian kita dalam mencari rezeki yang berkat dan halal.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *